myMetro | Misteri penyakit angguk
Apa yang mereka (saintis) tahu, penyakit misteri ini hanya berlaku pada kanak-kanak dan secara perlahan-lahan ia melemahkan badan pesakit dengan masalah sawan, membantutkan pertumbuhan, menjejaskan fungsi anggota tangan dan kaki, mengurangkan keupayaan mental dan kadangkala mengakibatkan kebuluran.
Sambil berjalan meredah ladang sorghum atau betari (tumbuh-tumbuhan bijirin seperti pokok jagung), Joe Otto, sukarelawan kesihatan bercerita bagaimana penyakit angguk menyerang kanak-kanak Kampung Tumangu, yang terletak kira-kira 450 kilometer di utara Kampala, ibu negara Uganda. “Tumangu didiami 780 penduduk dan di kampung ini saja ada 97 kes penyakit angguk. Boleh dikatakan semua keluarga mengalaminya,” kata Otto, 54.
Apabila bekalan ubat (yang hanya sekali sekala) tiba di pusat kesihatan tempatan yang terletak beberapa kilometer dari Tumangu, Otto terpaksa mengayuh basikal untuk mengambilnya sebelum diagihkan kepada pesakit. Pun begitu, Otto maklum, ubat berkenaan hanya memberi kelegaan sementara.
“Kami beri ubat seperti carbamazepine untuk epilepsi (yang menyebabkan sawan), tetapi penyakit ini sama sekali berbeza dengan epilepsi,” sambungnya lagi.
Apabila penyakit itu merebak ke seluruh kampung, ketakutan dan kebimbangan penduduk kampung mula berkurang. Malah mereka sudah boleh menerima kehadiran penyakit berkenaan.
“Kami beritahu penduduk bahawa pesakit yang meninggal dunia adalah mereka yang sudah sembuh. Mereka akhirnya terlepas daripada penyakit yang menyebabkan pelbagai penderitaan itu,” kata Otto dalam nada sedih.
Sehingga kini saintis masih berusaha mencari penawarnya. Sejak 2010, penyelidik daripada pelbagai bidang termasuk pakar epidemiologi, alam sekitar, neurologi, toksikologi dan psikiatri aktif melakukan pelbagai ujian.
Pakar ini cuba melihat kepada kemungkinan mengaitkan penyakit itu dengan semua perkara daripada parasit (yang menyebabkan kebutaan sungai) kepada kekurangan zat hinggalah kesan peperangan yang melanda utara Uganda selama beberapa dekad.
“Kami melihat daripada pelbagai aspek, tetapi malangnya masih belum jumpa apa-apa faktor risiko yang jelas. Kami masih melakukan kajian mencari ejen yang menyebabkan perkara ini berlaku,” kata Miriam Nanyunja, pegawai jabatan pencegahan dan kawalan penyakit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Kampala.
Selalunya hasil kajian akan mencetuskan lebih banyak persoalan. Saintis masih tidak tahu sama ada penyakit ini ada kaitan dengan ledakan penyakit yang lebih kurang sama di utara Sudan dan Tanzania.
Saintis juga giat berusaha untuk memahami dan mengetahui sama ada penyakit ini masih merebak atau sudah sampai ke kemuncaknya; dan mengapa ia hanya berlaku pada sesetengah komuniti saja.
Bulan lalu, selepas menerima banyak tekanan daripada pemerintah di kawasan yang mempunyai ramai pesakit, Kementerian Kesihatan Uganda melancarkan pelan kecemasan untuk cuba mengenal pasti dan mengawal penyakit.
Bagaimanapun Nanyunja berkata, sementara penyelidikan mencari punca dan penawar giat dilakukan, doktor hanya boleh memberi rawatan untuk mengurangkan gejala penyakit saja.
“Ada banyak penyakit yang kita rawat gejalanya saja, tanpa mengetahui punca sebenarnya,” kata Nanyunja.

No comments:
Post a Comment
boleh tinggalkan komen anda disini...