myMetro | Bincang isu caj pemegang insurans di hospital swasta
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi termasuk syarikat insurans, hospital swasta dan Organisasi Jagaan Yang Diuruskan (MCO) bagi menyelesaikan isu aduan pemegang kad insurans yang dikenakan caj berlebihan ketika mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, aduan mengenai masalah itu antara yang sering diterima kementeriannya dan perlu diselesaikan segera memandangkan caj sama sepatutnya dikenakan sama ada terhadap pesakit yang dilindungi insurans atau pembayaran tunai.
“Amalan negatif itu perlu segera dihentikan sesetengah hospital swasta kerana boleh memberi impak negatif kepada kos premium insurans memandangkan perlindungan insurans pesakit adalah terhad mengikut had perlindungan dengan hak maksimum tertentu.
“Jika amalan ini diteruskan, pesakit tidak akan mendapat faedah perlindungan optimum sekali gus membebankan mereka,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog dalam Persidangan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Swasta di sini, semalam.
Beliau berkata, kerajaan sudah menetapkan kadar fi bagi perkhidmatan profesional oleh doktor atau doktor pakar dan caj berkenaan tidak boleh sewenang-wenangnya dinaikkan mana-mana pihak.

No comments:
Post a Comment
boleh tinggalkan komen anda disini...